Sunday, June 28, 2009

Golongan muda paling ramai muflis


Golongan muda paling ramai muflis

Angkara kad kredit, 120 pemuda berusia di bawah umur 25 tahun di negara ini diisytihar muflis sejak 2005, mewakili hampir 10 peratus daripada jumlah yang diisytiharkan bankrap setiap tahun.

Sambil melahirkan kebimbangan dengan trend itu, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, berkata jika tidak dibendung dibimbangi ia boleh menjejaskan perkembangan ekonomi negara.

“Sekiranya lebih ramai warga muda diisytiharkan bankrap, negara akan kehilangan tenaga dan kepakaran mereka. Mereka dalam kategori umur itu sepatutnya baru memulakan kerjaya atau baru habis pengajian.

“Agak pelik kerana golongan semuda itu sudah bankrap kerana gagal mengurus penggunaan kad kredit sehingga menanggung hutang lebih RM30,000 (had minimum perisytiharan bankrap) hanya dalam satu kad,” katanya dalam satu pertemuan dengan Berita Harian.

Beliau juga mendedahkan hanya kerana satu kad kredit, seorang pemegang kad kredit yang terlalu ghairah berbelanja terperangkap dalam jerat muflis selepas gagal menjelaskan tunggakan hutang mencecah lebih setengah juta ringgit.

Kes itu dilaporkan di Johor Bahru apabila pemegang kad jenis Diners Club itu berhutang lebih RM540,000 dan tersenarai dalam rekod Jabatan Insolvensi bersama 3,637 pemegang kad kredit di seluruh negara yang muflis dalam tempoh empat tahun lalu.

Perangkaan dari 2005 hingga Mei lalu menunjukkan 52 peratus daripada individu muflis berketurunan Cina atau seramai 1,907 orang, diikuti Melayu (36 peratus/1,301), India (11 peratus/391) dan lain-lain bangsa (Satu peratus/38).

Perangkaan Bank Negara pula menunjukkan sebanyak 11 juta kad kredit digunakan di seluruh negara sehingga April 2009 membabitkan had RM105.5 bilion dan dengan purata empat kad seorang, baki tertunggak belum dijelaskan setakat April lalu ialah RM22 bilion.

Abdul Karim berkata, lebih 50 peratus individu bankrap di kalangan pengguna kad kredit adalah mereka berusia bawah 44 tahun, iaitu usia yang masih diperlukan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar satu kajian dibuat berhubungnya selain menambahbaik dasar dan syarat memohon kad kredit supaya tidak semudah sekarang.

“Ketika ini mudah sangat nak dapat kad kredit… promosinya pula sangat hebat, sana sini ada ejen. Ini senario tidak sihat kerana meskipun kad kredit satu kemudahan, ia juga boleh mengundang kemudaratan seperti bankrap.

“Jangan nanti kerana terlalu mahu meningkatkan jumlah pengguna kad kredit, kita ada ramai rakyat yang bankrap hingga menimbulkan masalah kepada negara. Bank Negara perlu mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di negara lain,” katanya. -Berita Harian

No comments:

Post a Comment